Yaman, Hadramaut & Tarim

Sejarah dan Kelebihan Negara Yaman

 

Al-Jumhuriyyah Al-Yamaniyah atau lebih dikenali dengan Republik Yaman merupakan sebuah negara yang terletak di Jazirah Arab kawasan Asia Barat Daya. Negara ini bersempadan dengan Arab Saudi sebelah utara, Laut Merah sebelah barat, Laut Arab dan Teluk Aden sebelah selatan dan Negara Oman di timurnya.

 

Penduduk negara Yaman terkenal sebagai masyarakat yang ramah dan memiliki hati yang lembut. Bahkan penduduk Yaman berbondong-bondong memasuki agama Islam semenjak awal risalah Islam sampai kepada mereka. Rasulullah ﷺ pernah memuji akan kemuliaan penduduk Yaman yang mafhumnya  adalah:

حَدَّثَنَا أَبُو الرَّبِيعِ الزَّهْرَانِيُّ، أَنْبَأَنَا حَمَّادٌ، حَدَّثَنَا أَيُّوبُ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: جَاءَ أَهْلُ الْيَمَنِ هُمْ أَرَقُّ أَفْئِدَةً الإِيمَانُ يَمَانٍ وَالْفِقْهُ يَمَانٍ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ
Sahih Muslim 52 a | كتاب الإيمان
Telah datang orang – orang Yaman. Mereka mempunya hati yang  sangat lembut. Keimanan itu ada pada orang Yaman, Fiqh itu ada  pada orang Yaman, dan Hikmah itu ada pada orang Yaman.

 

Banyak kelebihan yang ada pada penduduk negara Yaman sama ada daripada nas Al-Quran, hadits Rasulullah ﷺ dan dalam kitab – kitab karangan ulama sejarah. Antaranya;

 

  1. Sayyidina Abu Musa Asy’ari berkata “Aku membaca ayat Al-Quran dihadapan baginda Rasulullah ﷺ. Firman Allah S.W.T yang mafhumnya, “Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Allah” Al-Maidah ayat ke 54. Lalu Rasulullah ﷺ berkata “Mereka adalah kaummu, wahai Abu Musa Asya’ri (Penduduk Yaman)”
  2. Didalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, Sayyidina Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ yang bersabda mafhumnya, “Telah datang kepada kamu penduduk Yaman, Mereka adalah orang-orang yang lunak jiwanya dan paling lembut sanubarinya, Iman ada pada orang Yaman dan Hikmah ada pada orang Yaman.
  3. Rasulullah ﷺ memuliakan penduduk Yaman semasa peristiwa menggali parit ketika perang Khandaq. Baginda ﷺ bersabda mafhumnya “Ya Allah limpahkanlah keberkatan pada negara Syam kami, Ya Allah limpahkanlah keberkatan pada negara Yaman kami”.
  4. Didalam kitab Al-Fadhail Yaman, seorang ahli Hadits yang bernama Al-Hafiz Al-Qusyairi menyebutkan bahawa Sayyidina Abu Dzar Al-Ghiffari R.A. telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda “Jika timbulnya fitnah, hendaklah kamu tinggal di Negara Yaman kerana tempat itu diberkati”.
  5. Didalam kitab Al-Wasilah Muta’bidin menyebutkan sebuah hadits daripada Jabir Bin Abdullah Al Ansori R.A. bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda mafhumnya “Sepertiga keberkatan dunia kembali ke Yaman, Barangsesiapa hendak lari daripada fitnah, hendaklah ke negara Yaman.”

 

Negara Yaman memiliki sejarah tersendiri serta tamadun yang agung dari sudut perkembangan agama Islam dan dakwah seruan mentauhidkan Allah ﷻ. Sebelum lahirnya baginda Rasulullah ﷺ membawa dan menyebarkan agama Islam kepada ummah, para Anbiya’ dan Rasul banyak ditugaskan untuk membawa ummah mentauhidkan Allah S.W.T seperti;

 

  1. Nabi Hud A.S ditugaskan mendakwah penduduk kaum ‘Ad di Wadi Al-Ahgof Hadramaut. Wafat di Wadi Al-Ahgof yang kini dikenali sebagai Syi’ib Nabi Hud atau lembah Nabi Hud sekitar 80km daripada Kota Tarim.
  2. Nabi Hadun Bin Nabi Hud A.S wafat di perkampungan Hadun di Kota Do’an.
  3. Nabi Soleh A.S wafat di Wadi Sar.
  4. Nabi Hanzolah A.S ditugaskan mendakwah penduduk Kaum Rassi. Wafat di perkampungan Bor berhadapan Maqam Imam Ahmad Muhajir Bin Isa di Husaiseh sekitar 25km dari Kota Tarim.
  5. Nabi Sarjis A.S wafat di Kota Tarim.

 

Pada era permulaan dan perkembangan penyebaran agama Islam di Yaman, Sayyidina Ali Bin Abi Talib diutuskan oleh Rasulullah ﷺ untuk berdakwah ke Yaman pada tahun ke 10 Hijrah. Manakala, Sayyiduna Muaz Bin Jabal R.A. dan beberapa sahabat yang lain juga dihantar berdakwah ke negara Yaman dan disambut dengan baik oleh penduduk di sana. Sayyidina Ali Bin Abi Talib berdakwah ke Yaman Utara manakala Muaz Bin Jabal ditugaskan untuk berdakwah ke Yaman Selatan. Berikut merupakan beberapa sahabat Rasulullah ﷺ  yang ditugaskan untuk berdakwah ke negara Yaman;

 

  1. Sayyidina Ali Bin Abi Talib R.A.
  2. Muaz Bin Jabal R.A.
  3. Abu Musa Asya’ri R.A.
  4. Ziyad Bin Labid Al-Ansori Al-Khazraji R.A.
  5. ‘Abad Bin Bisyir Al-Ansori R.A.

 

Keunikan negara Yaman bukan sahaja tertumpu pada penduduknya sahaja tetapi dari sudut perkembangan ekonomi, seni pembangunan, adat budaya yang menarik menjadikan negara tersebut sentiasa dikunjungi dan diziarahi oleh pelancong dari luar negara.

Sejarah dan Keistimewaan Hadramaut

 

Hadramaut atau Havermavt didalam bahasa Ibrani merupakan sebuah wadi (lembah) yang terbesar sekali di Negara Yaman meliputi pergunungan Al-Ahqof bermula dari ‘Aden sampai kepada Tanjung Ras Al-Hadd. Manakala di dalam kitab Tajul ‘Arus bagi Imam Hafiz Muhammad Murtadzo az-Zabidi menyebutkan bahawasanya permulaan nama Hadramaut ialah عبدل ‘Abdal. Berkata setengah daripada ulama nama Hadramaut asalnya ialah وبار Wabaari kemudian dinamakan sebagai وادي الأحقاف Wadi Al-Ahqaf dan akhirnya dinamakan sebagai حضرموت Hadramaut. Terdapat beberapa pendapat yang masyur kenapa diberikan nama Hadramaut antaranya;

 

  1. Peristiwa Nabi Soleh A.S bersama beberapa pengikutnya berhijrah ke suatu kawasan di wilayah Yaman. Apabila sampai di kawasan tersebut maka wafatlah Nabi Soleh A.S. lalu dinamakan sebagai Hadramaut yang membawa erti hadir kematian.
  2. Berasal daripada nama seorang raja dari keturunan Himyar yang bernama ‘Amir Bin Qahthan menurut ahli sejarah Yaman dan di dalam kitab Ad-Dairat Al-Ma’arif karya Imam Bustani. Apabila beliau pergi berperang, pasti ramai jiwa-jiwa yang terkorban sehingga dijuluki Hadramaut.
  3. Pendapat lain mengatakan Hadramaut berasal daripada nama pembesar iaitu Hadramaut Bin Saba’ Al-Asghor.

 

Hadramaut memiliki dua kota pelabuhan yang besar iaitu kota Syihir dan kota Mukalla. Kedua-duanya merupakan pelabuhan yang sentiasa dikunjungi pendatang luar untuk keperluan perniagaan. Antara kota–kota lain yang terdapat di Hadramaut ialah kota Tarim, Seiyun, Ghurfah, Ghail Bawazir, Al Qasam, I’nat, Syibam dan lain-lain lagi.

 

Kedatangan Agama Islam di Hadramaut

 

Penduduk Hadramaut telah memasuki agama Islam sejak zaman Rasulullah ﷺ melalui pendakwah daripada kalangan para sahabat mahupun para tabi’ tabi’in sendiri. Bahkan sehingga kini mereka berpegang dengan Aqidah Ahl Sunnah Wal Jamaah dan berpandukan Mazhab Imam Asy-Syafie. Orang pertama yang diutuskan baginda Rasulullah ﷺ untuk menyampaikan dakwah ke Hadramaut ialah Ziyad Bin Labid Al-Ansori Al-Khazraji iaitu salah seorang pahlawan besar dari kalangan para sahabat. Beliau banyak menghabiskan waktunya di kota Tarim dan Syibam di akhir masa Nabi Muhammad ﷺ sehinggalah permulaan pemerintahan Sayyididna Umar Al-Khattab R.A. ﷺ

 

Setelah Rasulullah ﷺ wafat, ramai penduduk Hadramaut murtad sehingga berlaku peperangan sesama saudara mereka yang masih teguh bersama didalam agama Islam. Walaupun begitu, masih ramai daripada kalangan mereka yang bersama di dalam Islam dan menjadi panglima perang menakluk negara lain seperti Asy’as Bin Qais Al-Kindi yang menakluk negeri Nahawan dan Azerbaijan.

 

Di dalam kitab Al-Ifadah Fi Ma’rifati Sohabah Min Kindah Wa Hadramaut menyatakan bahawasanya para sahabat Rasulullah ﷺ yang berdakwah menyebarkan agama Islam bukan sahaja berasal dari negara luar bahkan sebilangan besar mereka daripada negara Yaman khususnya bumi Hadramaut. Sahabat pertama dari Hadramaut yang memasuki agama Islam ialah Wail Bin Hajar Al-Hadhrami apabila melafazkan kalimah syahadah di hadapan baginda Rasulullah ﷺ sendiri semasa di kota Madinah. Bahkan Rasulullah ﷺ memuliakan beliau dengan menulis surat khas menyatakan keislaman beliau sebelum beliau pulang ke Hadramaut.

 

Para sahabat dari Hadramaut ialah sebanyak 48 orang iaitu 41 orang lelaki dan 3 orang wanita serta 4 orang yang dikenali dengan nama gelarannya. Manakala 7 orang khilaf sama ada sahabat atau bukan dan 4 orang yang sempat hidup pada zaman hidupnya Rasulullah tetapi tidak sempat berjumpa baginda.

 

Hadramaut secara khususnya menyimpan berjuta-juta khazanah lama dan berharga. Peninggalan-peninggalan bersejarah masih terjaga rapi dan tradisi para ulama salaf sehingga kini masih lagi diamalkan. Jasad para Anbiya, maqam para Auliya, ashab  perang Badar, monumen dan binaan lama dengan ukiran yang indah masih tetap utuh walaupun menjangkau usia hampir 1000 tahun lamanya.

 

Fahaman Ibadhiyah dan ajaran sesat tersebar di Hadramaut

 

Mazhab Khawarij merupakan satu kelompok yang terkeluar daripada kelompok Sayyidina Ali Bin Abi Talib R.A. dan Sayyidina Mu’awiyah R.A. yang berpecah menjadi dua puluh kelompok. Manakala yang paling menonjol ialah mazhab Ibadhi yang akhirnya berpecah kepada empat aliran salah satunya Mazhab Zaidiyah.

 

Fahaman Ibadhiyah diambil bersempena nama Abdullah Bin Ibadh merupakan tokoh utama yang menyebarkan fahaman ini. Manakala Abdullah Bin Yahya Al-Kindi yang juga dikenali sebagai Tholib al-Haq merupakan Imam pertama mazhab Ibadhi yang dikenali di Hadramaut wafat pada 130H. Beliau juga merupakan tokoh yang membawa gerakan revolusi melawan pemerintahan Bani Umayyah dibawah pemerintahan Marwan Bin Muhammad pada tahun 129H. Fahaman Ibadhi ini bermula dari tahun 129H sehinggalah tahun 591H yang akhirnya dikuasai oleh mazhab Ahl Sunnah Wal Jamaah secara keseluruhannya.

 

Kaum Qaramithah yang merupakan pengikut bagi Abi Said Qaramithi merupakan nama sebuah desa di kota Iraq. Mereka merupakan penganut mazhab Syiah Ismailiah pada masa yang sama melakukan kerosakan dan menyebarkan mazhab mereka di Hadramaut pada akhir kurun ke 3 atau awal kurun ke 4 sebelum kesemua fahaman dan ajaran sesat tersebut terhapus dek kedatangan seorang tokoh agama dari keluarga Rasulullah ﷺ bersama rombongannya dari negara Iraq berhijrah ke Hadramaut. Berpandukan Al-Quran dan Sunnah mulia serta akhlak baginda Rasulullah ﷺ di dalam corak dan gaya dakwahnya, menyebabkan penduduk Hadramaut menganuti fahaman Ahl Sunnah Wal Jamaah dan berpegang dengan Mazhab Imam Syafie sehingga sekarang. Beliau yang dimaksudkan ialah Sayyiduna Imam Muhajir Ahmad Bin Isa.

 

Manhaj Dakwah Keluarga Rasulullah ﷺ

 

Sayyidina Imam Muhajir Ahmad Bin Isa merupakan seorang tokoh agama dari keturunan Rasulullah ﷺ yang membawa dan menyebarkan aqidah ahl sunnah wal jamaah di Hadramaut pada awal kurun ke 4 hijrah. Beliau yang berasal dari Kota Basrah sanggup meninggalkan tanah air dan kekayaannya semata-mata untuk menyelamatkan aqidah daripada fahaman yang sesat seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah dan fahaman yang lain.

 

Sebagaimana yang disebutkan didalam kitab Birqatul Masyiqah karangan Syeikh Ali Bin Abi Bakar As Sakran bahawasanya “Berkat hijrahnya Imam Muhajir ke Hadramaut, maka selamatlah anak cucu beliau dari  pelbagai kerosakan aqidah, fitnah, kegelapan bid’ah, penentangan terhadap ahl sunnah wal jamaah dan para pengikut Imam Muhajir Ahmad Bin Isa menggunakan metod dakwah dengan akhlak yang lembut, adab yang terjaga, pertuturan yang manis sebagaimana budi pekerti datuknya Rasulullah ﷺ sehinggakan penduduk disana yang berfahaman dengan aqidah sesat seperti Khawarij, Ibadhi dan lain-lain menyatakan taubat mereka dan bersama menganut fahaman ahl sunnah wal jamaah walaupun Khawarij merupakan antara mazhab terbesar yang dianuti oleh penduduk Hadramaut sebelum ini. Dengan keluasan ilmu dan keberanian Imam Muhajir Ahmad Bin Isa, maka mazhab Khawarij termasuk fahaman Ibadhi terhapus secara menyeluruh dari Hadramaut sebelum kurun ke 7H.

 

Sehingga kini, penduduk Hadramaut mengamalkan ajaran ahl sunnah wal jamaah dan berpandukan mazhab Imam Syafi’e yang dapat dilihat melalui amal ibadah, jual beli, urusan harian dan banyak lagi. Dari Hadramaut inilah, berkembangnya zuriat Imam Muhajir Ahmad Bin Isa di Hadramaut bahkan ramai dalam kalangan mereka menjadi pelopor gerakan dakwah Islam seantero negara seperti ke daratan India, kepulauan Melayu dan Indonesia, daerah Afrika dan Madagaskar, kawasan Eropah, dan negara-negara lain. Dalam berdakwah, mereka meletakkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber utama mengeluarkan hukum.

Sejarah dan Keutamaan Kota Tarim

 

Tarim merupakan sebuah kota yang terdapat di Hadhramaut yang terletak sekitar 35 km daripada Kota Seiyun. Kota yang dikelilingi oleh gunung-ganang dan pohon-pohon kurma serta kebun-kebun kecil ini beriklim panas setiap tahun. Bahkan Tarim merupakan pusat mazhab Syafie yang mengeluarkan ramainya para pendakwah yang tersebar ke seluruh dunia. Kota Tarim terdapat beberapa nama yang masyur antaranya:

 

  • Al-Ghanna iaitu kekayaan kerana Tarim merupakan sebuah kota yang kaya dengan ilmu dan ulama serta banyak tumbuh-tumbuhan dan kebun-kebun di sekitarnya.
  • Kota As-Siddiq kerana penduduk Tarim bersetuju membai’ah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq menjadi Khalifah menggantikan baginda Rasulullah ﷺ tanpa sebarang penentangan. Bahkan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq mendoakan khusus untuk penduduk kota Tarim.
  • Kota At-Tib yang dinamakan oleh Imam Umar Muhdhor di dalam sebahagian qasidahnya kerana Kota Tarim merangkumi penawar bagi hati dan jasmani.
  • Kota Al-Huffaz iaitu yang terjaga kerana penduduk Tarim rata-ratanya menghafal Al-Quran dan menjaga hafalan mereka dengan baik. Juga kerana Tarim antara sebuah kota yang menjaga nasab keturunannya lebih-lebih lagi yang bernasabkan kepada baginda Rasulullah ﷺ.

 

Nama Tarim menurut satu riwayat diambil bersempena nama penguasa yang tinggal dikawasan tersebut yang bernama Tarim Bin Hadhramaut. Beliau mempunyai seorang saudara bernama Syiba yang kini dinamakan kota Syibam diambil bersempena namanya. Tarim mula menerima seruan agama Islam melalui para sahabat yang datang berdakwah utusan baginda Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah Ziyad Bin Labid Al Ansori yang diutuskan ke Hadhramaut khasnya di kota Tarim dan kota Syibam.

 

Setelah wafatnya baginda Rasulullah ﷺ di kota Madinah, Ziyad Bin Labid Al-Ansori ketika itu berada di kota Tarim mendapat perkhabaran dan utusan daripada Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq agar membai’ahnya sebagai Khalifah menggantikan baginda Rasulullah ﷺ. Maka beliau mengumpulkan kesemua penduduk Kota Tarim selepas menunaikan Solat Zohor dan membacakan surat yang disampaikan kepada beliau kepada penduduk kota Tarim untuk membai’ah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. Penduduk kota Tarim dengan senang dan tanpa sebarang bantahan terus bersetuju untuk membai’ah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq menjadi Khalifah. Selepas mendapat perkhabaran tersebut, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq gembira dan mendoakan dengan tiga doa khusus untuk penduduk kota Tarim.

 

  1. Semoga Allah ﷻ memperbanyakkan orang soleh dan alim ulama di kota Tarim seperti tumbuhnya cendawan di bumi selepas hujan.
  2. Semoga Allah ﷻ memberkati airnya dan tidak akan habis sehingga hari kiamat.
  3. Semoga Allah ﷻ memakmurkan kota Tarim dan aman tanpa sebarang peperangan dan kekacauan.

 

Oleh kerana itulah, Syeikh Muhammad Bin Abu Bakar Ba’abad menyatakan “Bahawasanya Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq akan memberikan syafaat khas kepada penduduk Tarim di akhirat kelak”

 

Adapun orang pertama dari keluarga Baa’lawi yang menetap di kota Tarim ialah Syeikh Ali Kholi’ Qasam yang berhijrah ke Kota Tarim dari Desa Bait Jubair pada tahun 521H. Selepas hijrahnya beliau, Kota Tarim berkembang menjadi sebuah pusat pendidikan agama dan hidupnya budaya ilmu serta pengamalan sunnah Rasulullah ﷺ dalam kehidupan seharian, pergaulan, pekerjaan dan urusan lain. Di dalam kitab Jauharus Syaffaf karangan Syeikh Abd Rahman Bin Ali Al-Khotib menyatakan kota Tarim telah dihuni sekitar 700 qabilah. Setiap qabilah mempunyai seorang tokoh yang terkenal. Pernah pada suatu masa Kota Tarim memiliki 300 orang mufti feqah.

 

Kota Tarim mempunyai 3 tempat yang diberkati iaitu bukit-bukitnya, turbahnya iaitu maqam para ulama dan auliya dan masjid-masjidnya. Bahkan pada suatu masa kota Tarim mempunyai hampir 365 buah masjid yang setiap masjid mempunyai kisahnya yang tersendiri dan tidak pernah kosong dengan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mahupun melaksanakan ibadah yang lain. Kebanyakan masjidnya berusia antara 500 hingga 900 tahun lamanya. Maka, tidak kisahlah kota yang kecil ini penuh dengan keberkatannya apatah lagi merupakan tempat tinggalnya para ulama keturunan Rasulullah ﷺ yang digelar Sadah Alawiyyin.

 

Seni bina dan ukiran di kota Tarim amat unik kerana hanya menggunakan tanah liat, batu dan kayu sahaja untuk membina rumah atau bangunan. Manakala yang lebih mengkagumkan lagi mereka mampu membina bangunan tinggi sehingga mencapai 5 tingkat dan mampu untuk kekal dalam tempoh yang lama. Sebuah masjid di kota Tarim yang bernama Masjid Muhdhor diberi pengiktirafan sebagai menara yang paling tinggi sekali didunia sekitar 40 meter yang dibuat daripada tanah liat. Kini sudah berusia hampir 100 tahun lebih lamanya tetapi masih utuh dan menjadi satu kebanggaan buat warga kota Tarim.

 

Kota Tarim sentiasa terbuka buat para masyarakat mahupun para pelajar dari Malaysia untuk menziarahi dan belajar di kota 1001 auliya ini agar dapat memahami lebih jelas amalan, adat dan budaya warga kota Tarim. Mana mungkin seseorang mampu untuk menilai dan memberi sesuatu hukum sekiranya belum pernah merasai dan memahami sepenuhnya apa yang ada di kota tersebut. Suasana dan gaya hidup yang sederhana sebagaimana zaman sahabat terdahulu masih dapat dilihat sehingga sekarang. Bahkan, pemakaian, adab dan akhlak serta adat mereka hampir kesemuanya sama di Nusantara.

× Whatsapp us for assistance